Judul : 7 Tempat Menarik Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu
link : 7 Tempat Menarik Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu
7 Tempat Menarik Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu
Selain Kuching, terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik di negeri Sarawak yang menyimpan 1001 rahsia yang ramai tidak tahu.
Mari kita saksikan lokasi-lokasi dan tempat menarik serta perkara-perkara unik yang anda boleh lakukan apabila melawat Sarawak pada masa hadapan.
1. Pemandangan Menakjubkan Di Taman Negara Bako
Taman Negara tertua di Sarawak ini dibuka pada 1957, meliputi kawasan seluas 27 km persegi, dan terletak lebih kurang 37 km dari bandaraya Kuching. Ia terkenal dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan, tumbuhan dan hidupan liar.
Ciri paling penting di sini adalah kawasan terlindung yang terpencil dan tanjung tinggi berbatu dengan cenuram curam yang mengagumkan menghadap Laut China Selatan.
Tempias laut, pukulan ombak dan angin juga mengukir indah gerbang laut dan tunggul laut di dasar cenuram, dengan beberapa yang kelihatan seperti kepala ular.
Batu pasir yang terbentuk di atas cenuram dengan corak besi kemerahan nampak begitu menarik. Di kawasan pedalaman terdapat air terjun yang menjunam turun ke dalam kolam air dengan pemandangan hutan yang begitu mempersonakan.
Bako mempunyai pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan spesis tanaman, dan ini merupakan salah satu tarikan di sini. Hampir semua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo boleh ditemui di Bako.
Bako juga didiami oleh hampir 275 Monyet Proboscis yang jarang ditemui, dan hanya terdapat di Borneo.
Masa terbaik untuk melihat hidupan liar di Bako adalah selepas waktu subuh dan sebelum senja, ketika haiwan sedang aktif.
Bako adalah tempat yang menarik untuk mengkaji burung, dengan hampir 150 spesis burung telah direkodkan di sini.
Sistem laluan yang luas di Bako terdiri daripada 16 laluan hutan berkod warna yang menawarkan pelbagai pilihan untuk berjalan kaki dan mendaki.
Mereka yang sukakan cabaran boleh memilih untuk mendaki hutan sepanjang hari atau menyertai ekspedisi perkhemahan bermalam, manakala bagi mereka yang tidak gemarkan aktiviti lasak boleh memilih untuk berjalan kaki di denai hutan.
2. Pesta Babulang, Limbang
Pesta Babulang adalah acara tahunan yang diadakan oleh komuniti Bisaya di Batu Danu, Limbang.
Highlight festival ini adalah perlumbaan kerbau di antara pasukan-pasukan dari Limbang, Sabah Dan Brunei. Aktiviti lain termasuklah persembahan kebudayaan, pertandingan memasak, pameran kraftangan dan cabutan bertuah.
Selain itu, mereka turut mengadakan pertandingan ratu cantik ‘Ratu Babulang’ yang menarik perhatian ramai wanita-wanita muda menyertainya. Pada tahun ini Pesta Babulang akan diadakan pada 6 Jun sehingga 8 Jun.
3. Selamatkan Penyu! Pulau Talang-Talang Besar
Sarawak adalah rumah kepada 5 jenis penyu iaitu penyu agar, penyu karah, penyu lipas, penyu belimbing and penyu tempayan.
Semua spesis ini adalah spesis terancam, dan mendorong kerajaan negeri untuk mewujudkan beberapa buah taman negara marin sebagai usaha pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan-haiwan ini.
Tapak terbaik untuk melihat penyu-penyu ini bertelur adalah di Taman Negara Similajau berhampiran Bintulu dan Taman Negara Tanjung Datu di Barat Daya Sarawak.
Akan tetapi majoriti penyu, kebanyakannya daripada spesis penyu agar mendarat di pulau-pulau sekitar Taman Negara Talang-Satang, tidak jauh dari Kuching menggunakan bot.
Pulau terbesar, Pulau Satang Besar, dibuka kepada pengunjung untuk aktiviti siang dan malam, termasuk lawatan ke pusat penetasan penyu.
Pulau Satang Besar menawarkan lokasi hebat untuk aktiviti snorkelling – anda mungkin dapat lihat penyu berenang di terumbu-terumbu karang berhampiran pulau ini.
Pulau utama sebagai pusat konservasi penyu pula, iaitu Pulau Talang-Talang Besar selalunya ditutup kepada pengunjung.
Walau bagaimanapun melalui Sea Turtle Adoption Programme, peserta akan menghabiskan masa selama 4 hari di sini bekerja bersama-sama pakar konservasi profesional untuk belajar tentang penyu dan melibatkan diri dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan seperti: rondaan pantai untuk menjejak pendaratan penyu; pemantauan aktiviti bersarang; penandaan dan mengukur penyu; memindahkan telur ke tapak penetasan; melepaskan anak penyu dan rakaman data.
Layari laman web Sarawak Tourism untuk maklumat lanjut.
4. Bermesra Dengan Orang Utan, Pusat Hidupan Liar Matang Dan Semenggoh
Walaupun orang utan Borneo memiliki 97% DNA manusia, ia adalah spesis yang sangat terancam disebabkan kemusnahan habitat dan aktiviti pemburuan haram.
Sarawak mengambil inisiatif untuk melatih orang utan survival dan mengembalikan mereka semula ke habitat semulajadi.
Inisiatif ini telah dimulakan sejak 1970-an. Ianya merupakan proses yang panjang dan menelan kos yang tinggi.
Dalam program Heart 2 Heart with Orangutan yang dianjurkan oleh Sarawak Forestry, para peserta diajar untuk memahami cabaran ini dan mengambil bahagian di dalam pemuliharaan orang utan.
Pelbagai aktiviti pendidikan dan dialog diadakan dalam tempoh satu hari.
Peserta berpeluang belajar daripada pakar-pakar Sarawak Forestry tentang cabaran pemuliharaan orang utan sambil melakukan kerja konservasi di Matang Wildlife Centre dan Semenggoh Wildlife Centre.
Layari laman web Sarawak Tourism untuk maklumat lanjut.
5. Daki Mulu Pinnacles, Taman Negara Mulu
Puncak Mulu atau Mulu Pinnacles adalah sekumpulan menara batu kapur yang berbentuk tajam dengan ketinggian 45 meter di atas Gunung Api.
Terbentuk akibat hakisan dan larutan air, formasi pisau tajam dilatari hutan yang menghijau adalah satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan.
Taman Negara Mulu yang menempatkan Pinnacles ini menarik minat ramai pelancong asing, dan merupakan salah satu daripada 4 tapak warisan yang diiktiraf UNESCO di Malaysia.
Pendakian ke Puncak Mulu tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah. Ada yang mengatakan pendakian ke Pinnacles adalah lebih sukar berbanding pendakian menaiki Gunung Kinabalu. Perjalanan mendaki memerlukan masa sehingga 3 hari 2 malam.
Perjalanan bermula dari 9.30 pagi menuju ke Kuala Litut menggunakan bot panjang selama 40 minit. Anda akan berjalan kaki sejauh 8 km menuju ke Camp 5 sebelum hari gelap. Perjalanan mendaki hanya akan bermula keesokan harinya.
Pendakian mendatar adalah sejauh 2.4km, dan pendakian menegak sejauh 1200 meter, dan ada bahagian trek yang menggunakan tangga. Kecergasan amat penting untuk mendaki Puncak Mulu.
Sekiranya anda mahukan aktiviti yang lebih santai, kami mengesyorkan supaya anda melawat beberapa buah gua dengan pemandangan indah di sini. Antara gua yang boleh dilawati adalah Gua Rusa, Gua Lang, Gua Clearwater dan Gua Angin.
Kalau anda bernasib baik, anda dapat melihat banyak rama-rama Rajah Brooke berehat di lantai hutan berhampiran gua-gua ini.
Satu perkara yang sukar saya lupakan adalah melihat bagaimana air sungai bertukar menjadi sangat jernis sejurus menghampiri Gua Clearwater.
Anda juga boleh menonton bats exodus, iaitu acara di mana kelawar keluar beramai-ramai dari gua untuk mencari makanan.
Yang pastinya, Mulu menawarkan 1001 pemandangan yang sukar didapati di tempat lain. Harga sebanyak RM406 untuk mendaki Pinnacles sahaja.
Hubungi Taman Negara Mulu untuk maklumat lanjut.
6. Meluncur Benak Di Sungai Batang Lupar, Sri Aman
Benak atau tidal bore adalah fenomena alam akibat pertembungan arus laut dan sungai di kuala yang menyebabkan ombak besar menuruni seluruh sungai.
Ombak ini sangat besar sehingga mampu menyebabkan sebuah tongkang bersaiz sederhana terbalik.
Ada yang memanggil arus ini ‘tsunami kecil’, oleh kerana sifatnya yang menolak apa sahaja yang menghalangnya ke muara sungai dengan arus yang begitu kuat sekali. Ia berlaku dua kali setiap hari, pagi dan lewat petang.
Pada masa dahulu, benak di Sungai Batang Lupar ini ditakuti. Sungai Batang Lupar itu sendiri ditakuti kerana pernah menjadi tempat tinggal Bujang Senang, seekor buaya gergasi hitam putih dengan kepanjangan 20 kaki yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa. Sehingga kini, masih banyak buaya-buaya mendiami sungai ini.
Akan tetapi pada masa kini, fenomena benak menarik pelancong luar khususnya peluncur untuk meluncur arus deras ini. Arus yang berterusan tanpa henti ini memberikan keterujaan berbeza berbanding meluncur di laut.
Setiap tahun, sebuah pesta meraikan fenomena alam ini dipanggil Pesta Benak diadakan.
Di antara acara yang diadakan bersempena pesta ini adalah perlumbaan bot panjang, meluncur benak, sukan air, karnival jualan, hiburan malam, dan menonton benak.
Untuk mengetahui tentang pesta ini, lawati Facebook group Pesta Benak.
7. Berkayak Dengan Ikan Lumba-Lumba Irrawady Di Kuching
Ikan lumba-lumba Irrawady adalah spesis ikan lumba-lumba yang dilindungi. Ikan lumba-lumba sungai ini memiliki sifat pemalu dan elusif.
Dengan dahi yang bulat dan paruh yang pendek, ikan lumba-lumba ini kelihatan seperti beluga, akan tetapi sifat biologi sebenarnya adalah lebih mirip kepada paus pembunuh (killer whale atau orca).
Dolphin spotting dapat dijalankan di Sungai Santubong, Sungai Salak atau Pantai Damai di Kuching.
Walaupun anda boleh menaiki bot, berkayak lebih menyeronokkan kerana ia mengurangkan gangguan kepada haiwan liar ini.
Oleh kerana saiz kayak yang kecil dan tidak menakutkan, ikan lumba-lumba mungkin berenang mendekati anda, jika anda bernasib baik.
Anda boleh menghubungi beberapa operator pelancongan seperti Kuching Kayak atau RedRibbon untuk berkayak sambil melihat ikan lumba-lumba di Kuching.
Selamat melancong ke negeri Sarawak.
BACA INI JUGA: 11 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Sabah
sumber: thevocket
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sCnphB
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear first on Harian Melayu
Demikianlah Artikel 7 Tempat Menarik Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu
Anda sekarang membaca artikel 7 Tempat Menarik Pelancongan Unik Di Sarawak Yang Ramai Belum Tahu dengan alamat link https://harianmelayu.blogspot.com/2017/06/7-tempat-menarik-pelancongan-unik-di.html