Judul : Akibat 1MDB kita tergadai ke tangan AS?
link : Akibat 1MDB kita tergadai ke tangan AS?
Akibat 1MDB kita tergadai ke tangan AS?
HARI Malaysia 16 September tahun ini nampaknya bakal disambut dengan persoalan adakah negara kita telah tergadai ke tangan Amerika akibat 1MDB?
Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menjadikan persoalan ini semakin kencang bertiup.
Jika sebelum ini 1MDB didakwa menjadi punca terlepasnya aset dan tanah negara ke tangan China, kini AS telah dilihat sebagai penerima manfaat daripada kemelut politik dalaman negara ini.
Berikut analisis perkara yang perlu diberi perhatian:
1) Ekonomi AS sebenarnya tidak memerlukan pakej bantuan Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi mereka. Sama ada pelaburan dari Khazanah, KWSP, mahupun dari MAB sekali pun, kesemua ini tidak memberi impak besar kepada ekonomi AS yang KDNK-nya hampir 60 kali ganda lebih besar berbanding Malaysia.
Sebaliknya, Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman politik, ekonomi, mahu pun keselamatan yang lebih memerlukan AS. Bagaimana isu 1MDB mempunyai kaitan dalam keadaan ini?
Latar belakang hubungan ekonomi, politik, dan geopolitik Malaysia-AS perlu difahami dahulu.
2) Dari segi politik umum mengetahui bahawa pihak Jabatan Kehakiman (DoJ) AS telah giat menyiasat pelbagai tuduhan ke atas syarikat 1MDB.
Hal ini dilihat boleh menggugat kestabilan politik dan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional pimpinan PM Najib kerana didakwa ‘menggelapkan’ wang milik rakyat Malaysia. Selain tuduhan wang tersebut disalurkan ke akaun peribadi PM Najib, Syarikat Aabar-BVI yang dikawal individu bernama Low Taek Jho (Jho Low) dituduh ‘menggelapkan’ wang 1MDB tersebut dengan membeli pelbagai aset seperti hartanah, lukisan, jet peribadi, hinggalah ke penerbitan filem anak tiri PM Najib.
Maka beberapa aset yang ‘berkait’ dengan 1MDB telah disita DoJ di luar negara serta siasatan pelbagai akaun di beberapa negara.
3) Perlu diketahui bahawa DoJ yang menyiasat kes ini dijangka bakal mendapat satu perempat daripada keseluruhan nilai aset 1MDB yang disita itu sekiranya kes ini terbukti benar. Meskipun pelbagai penafian telah dibuat oleh Peguam Negara, Bank Negara, serta SPRM, namun kesan politik terhadap kerajaan Barisan Nasional terutamanya dalam pilihan raya yang akan datang akibat persepsi siasatan DoJ ini dijangka agak besar.
Apatah lagi dengan kebimbangan pendanaan dari AS yang sering didakwa BN membantu kempen dan aktiviti mesra pembangkang seperti dari National Endowment for Democracy (NED) dan Open Society Foundation (OSF), maka langkah ‘pencegahan’ perlu dilakukan.
4) AS juga ialah pelabur yang kedua terbesar di Malaysia. Malah nilai dagangan Malaysia dengan AS menunjukan kelebihan yang ketara buat eksport kita ke AS berbanding import dari AS ke negara kita.
Maka apabila Presiden Trump menyebut bahawa defisit iaitu jurang dagangan Amerika perlu diberi perhatian, keadaan ini memberi tekanan kepada Malaysia.
Sesuatu perlu dilakukan untuk ‘mencegah’ pentadbiran Trump daripada mengurangkan pelaburan di Malaysia mahupun mengurangkan eksport Malaysia ke AS seperti getah, komponen elektrik dan elektronik, bahan kimia serta tekstil dan produk-produk lain yang memberi pulangan besar kepada negara.
5) Dari segi geopolitik pula China telah memperoleh pelbagai manfaat apabila pihak DoJ AS mula menyiasat dan menyita aset yang berkait dengan 1MDB secara terbuka. PM Najib telah ke Beijing dan memeterai pelbagai MoU mega dengan China seperti ECRL, pembelian empat Littoral Mission Ship (LMS) untuk TLDM, dan pelbagai projek hartanah, serta pelabuhan seperti di Kuantan dan Melaka di Malaysia.
China yang sememangnya memiliki modal yang besar juga telah berhasil memperoleh bidaan membeli aset 1MDB seperti Edra Energy kerana terpaksa menjual aset untuk membayar hutang (pelan rasionalisasi) di samping syarikat seperti Geely yang memperoleh 49.9 peratus saham Proton.
Maka mungkin didorong faktor ingin menghapuskan imej ‘Malaysia tunduk kepada China’, maka pentadbiran PM Najib memilih untuk mengimbanginya dengan lawatan ke AS.
6) Hakikatnya, kuasa China memang perlu untuk diimbangi terutama sekali di Laut China Selatan. Hasil pertemuan Najib-Trump ini, perlu diperhatikan bahawa dalam Kenyataan Bersama Kerjasama Komprehensif antara AS dengan Malaysia bertarikh 13 September 2017, dinyatakan secara jelas: “They further called on all disputing parties to exercise self-restraint in the conduct of activities and refrain from action that erodes trust and confidence, and escalates tension, including the militarization of outposts”.
China sememangnya diketahui aktif membina kelengkapan ketenteraan di pulau-pulau buatan mereka yang menjadi pertikaian di sekitar Kepulauan Spratly. Kapal-kapal milik China juga kerap menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.
7) Susulan itu, meskipun pengumuman bahawa hubungan ketenteraan Malaysia-AS akan dieratkan, namun dari perspektif pertahanan negara, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius keperluan untuk mendapatkan pesawat pejuang pelbagai fungsi (MRCA) negara.
AS turut menghasilkan MRCA seperti Boeing F/A-18 Super Hornet yang menjadi pemerhatian di tanah air. Isu MRCA ini telah berlanjutan sejak LIMA 2015 hingga LIMA 2017 lagi. Apa pun tindakan Malaysia merancang untuk membeli aset ketenteraan Amerika yang bernilai AS$60 juta sedikit-sebanyak mengimbangi pengaruh China yang semakin kuat.
8) Antara isu ekonomi yang menjadi perhatian ialah pembelian 25 pesawat Boeing 737 serta lapan 787 Dreamliners untuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang dijangka keseluruhannya bernilai AS$10 bilion dalam tempoh lima tahun. Meskipun CEO MAB iaitu Peter Bellew pada Jun tahun ini pernah menyatakan hasrat untuk mengurangkan beberapa laluan antaranya ke Australia dan New Zealand, namun pembelian ini sesuai dengan keadaan MAB yang kini berada dalam keadaan pemulihan yang baik seperti dibuktikan peningkatan lapan peratus dalam suku kedua tahun ini.
Sememangnya dijangkakan bahawa pembelian ini akan turut memberi manfaat strategik kepada MAB dan bukannya menguntungkan AS atau Boeing semata-mata. Berkenaan isu Khazanah pula, sebenarnya Malaysia hanya meningkatkan pelaburannya yang sedia ada pejabat di Lembah Silikon, California.
Visinya adalah agar akan ada syarikat berteknologi tinggi di sana yang akan menjadi milik Malaysia kelak. Meski pun mencabar namun visi ini adalah strategik untuk kepentingan negara dan dianggap wajar.
Berkenaan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, pada masa ini KWSP juga sudah pun melabur sebanyak AS$7 bilion di Amerika. Maka apa yang baru hanyalah penambahan pelaburan sebanyak AS$3 bilion hingga AS$4 bilion lagi.
9) Tiada siapa mampu menafikan keperkasaan AS sebagai satu-satunya kuasa yang mampu untuk mengimbangi kehadiran China di rantau Pasifik.
Namun isu 1MDB telah sedikit-sebanyak mempengaruhi persepsi umum terhadap tawaran PM Najib dalam hubungan Malaysia-AS, seperti mana juga tawaran beliau dalam hubungan Malaysia-China.
Jika China berjasa dalam pelan rasionalisasi 1MDB, adakah AS pula akan berjasa dalam membantu Malaysia mengimbangi China dalam jangka masa panjang?
Ataukah AS akan menekan Malaysia dengan kes tuduhan terhadap 1MDB?
Setidak-tidaknya, urusniaga yang dimeterai di Washington ini telah meredakan seketika persoalan-persoalan ini.
Selamat Hari Malaysia.
*Abdul Muein Abadi, Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Appear first on Harian Melayu
Demikianlah Artikel Akibat 1MDB kita tergadai ke tangan AS?
Sekianlah artikel Akibat 1MDB kita tergadai ke tangan AS? kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Akibat 1MDB kita tergadai ke tangan AS? dengan alamat link https://harianmelayu.blogspot.com/2017/09/akibat-1mdb-kita-tergadai-ke-tangan-as.html