Judul : [INGATAN UNTUK PH] Institusi beraja penyambung peradaban Melayu, Raja pula TAK PAYAH main Politik
link : [INGATAN UNTUK PH] Institusi beraja penyambung peradaban Melayu, Raja pula TAK PAYAH main Politik
[INGATAN UNTUK PH] Institusi beraja penyambung peradaban Melayu, Raja pula TAK PAYAH main Politik
PEMETERAIAN janji antara Seri Teri Buana (mewakili golongan raja) dengan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) sewaktu mahu mengahwini Raden Ratna Cendera Puri disifatkan sebagai mukadimah kepada konsep kasih sayang antara raja serta rakyat Malaysia.
Peristiwa memeterai janji atau waad itu dapat diperhalusi menerusi penceritaan karya agung Sulalatus Salatin hasil penulisan Tun Seri Lanang yang memberi gambaran kepada umum tentang kepentingan menjaga hubungan antara raja dan rakyat.
Konsep waad boleh didefinisikan sebagai suatu bentuk perjanjian yang menjadi lambang atau simbol hubungan antara raja dengan rakyat bagi mencipta keharmonian hidup bermasyarakat.
Menerusi konsep itu, pihak raja perlu memerintah dengan adil dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang bersifat zalim terhadap rakyat manakala bagi rakyat jelata, mereka perlu melafazkan sumpah setia untuk tidak sesekali menderhaka kepada raja.
Dalam pada itu, kepatuhan kepada konsep waad dilihat menerusi corak pemerintahan Sultan Mansur Syah sewaktu mentadbir Melaka dengan adil hingga membolehkan baginda memperluaskan jajahan takluk ke negeri lain seperti Siam, Mengkasar dan Majapahit.
Keadaan tersebut bukan sahaja menjadikan Melaka sebagai sebuah empayar yang digeruni negara lain malah turut membolehkan rakyat hidup dengan sejahtera susulan kemajuan ekonomi yang dikecapi ketika itu.
Bagaimanapun, Sulalatus Salatin turut menceritakan akibat daripada pelanggaran waad apabila Singapura diserang todak hingga mengorbankan banyak nyawa ekoran kezaliman Paduka Seri Maharaja yang membunuh seorang alim, Tuan Jana Khatib.
Kisah perjanjian itu yang dimeterai ratusan tahun dahulu memberi gambaran bahawa raja dan rakyat saling memerlukan antara satu sama lain dan andai kata tiada lagi persefahaman, kepincangan mungkin berlaku.
Dalam konteks semasa pula, institusi beraja merupakan khazanah Melayu yang perlu dipertahankan kewujudannya kerana menjadi penyambung dan pelindung kepada adat-adat Melayu yang perlu dikekalkan maruahnya.
Jika sebelum ini perjanjian waad berfungsi untuk mengikat kasih sayang antara raja dan rakyat namun dalam era masa kini, institusi beraja merupakan pejuang utama dalam mempertahankan maruah dan adat Melayu.
Menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Teo Kok Seong, raja-raja Melayu secara asasnya merupakan pelindung kepada adat Melayu khususnya sebagai Ketua Agama Islam serta Ketua Istiadat Melayu.
Reputasi
“Peranan tersebut menjadi antara sebab utama mengapa institusi beraja di negara ini perlu kekal wujud dan dipertahankan sebaiknya meskipun terdapat cubaan daripada sesetengah pihak untuk mencalarkan reputasinya.
“Institusi beraja juga memberi gambaran kepada manifestasi keagungan tamadun dan peradaban Melayu malah sistem monarki dunia turut mengagumi corak bergilir yang diamalkan di Malaysia,” katanya pada program bicara bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi baru-baru ini.
Kok Seong menambah, pemilihan Yang di-Pertuan Agong secara bergilir untuk tempoh lima tahun bukan sahaja dilihat unik malah memperlihatkan kecanggihan pemikiran sivil dalam kalangan pemimpin Melayu.
“Pemikiran sedemikian mencerminkan tahap manifestasi tertinggi tamadun Melayu apabila mewujudkan inovasi dalam demokrasi (sistem penggiliran beraja) yang tidak pernah diamalkan oleh sistem monarki dunia sebelum ini,” ujarnya.
Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dengan memiliki raja-raja Melayu dari sembilan buah negeri meliputi Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Setiap raja akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan jawatan tersebut tidak diwarisi secara turun temurun.
“Memandangkan institusi beraja sebahagian daripada sistem pemerintahan di negara ini maka raja-raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong merupakan individu penting dalam mencorakkan sistem politik di Malaysia.
“Sebagai Raja Berperlembagaan, baginda bukannya bertakhta semata-mata bagi menyempurnakan sesuatu acara rasmi negara sebaliknya kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri membolehkan baginda berkuasa dalam politik,” jelasnya.
Kuasa politik tersebut membolehkan institusi beraja di negara ini mempunyai pengaruh kuasa dalam bidang perundangan berbanding sistem monarki negara dunia lain seperti Jepun dan Sweden yang hanya menikmati prestij sosial tanpa kuasa politik.
Pun begitu, sistem beraja di Brunei disifatkan sebagai lebih berkuasa dan mempunyai pengaruh politik yang besar di peringkat antarabangsa berbanding monarki lain di dunia termasuk Malaysia sendiri.
Ketua
“Apa yang lebih penting, peranan raja-raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara merupakan sesuatu yang tidak dapat disangkal fungsinya. Seri Paduka adalah ketua negara untuk sesebuah kerajaan yang memerintah.
“Justeru, sebagai ketua negara Seri Paduka menjadi lambang kepada kesinambungan kedaulatan dan integrasi nasional meskipun wujud peralihan kuasa kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, selain menjadi penyambung kepada peradaban Melayu, institusi beraja perlu dipertahankan keutuhannya berikutan turut memainkan fungsi penting dalam urusan kerajaan. Menurut Kok Seong, pelantikan jawatan-jawatan utama dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri Kabinet dan Peguam Negara, semuanya memerlukan perkenan baginda.
“Perkenan baginda bukan sahaja diguna pakai di peringkat persekutuan malah lantikan-lantikan jawatan utama di peringkat negeri seperti Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri turut memerlukan kuasa raja.
“Semua ini membuktikan bahawa institusi beraja merupakan elemen penting dalam sistem politik negara melalui penggabungan corak pemerintahan oleh raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang dianggotai oleh rakyat,” jelasnya.
Institusi beraja bukan sahaja berperanan sebagai tonggak kestabilan, penegak keadilan, pengikat perpaduan dan payung integrasi namun apa yang lebih utama, ia merupakan sebahagian daripada elemen pemerintahan negara.
“Institusi itu menerusi kuasa yang dimiliki Yang di-Pertuan Agong ditempatkan pada kedudukan tertinggi dalam sistem berkerajaan apabila mengatasi tiga kuasa utama politik negara iaitu perundangan, pentadbiran dan kehakiman.
“Ini sebenarnya identiti negara kita, sesuatu yang perlu dipertahankan martabatnya. Jadi, saya membantah keras sekiranya terdapat sebarang pertikaian oleh mana-mana pihak yang mahu mencemarkan institusi tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, sistem beraja di negara ini bukanlah sesuatu yang boleh digambarkan sebagai maksum dan sempurna sebaliknya wujud sedikit cela yang mengundang kepada keretakan tidak ketara dalam institusi berkenaan.
Berkongsi pandangan demikian, Exco Pendidikan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir menjelaskan, faktor sejarah yang tidak diceritakan dengan baik menyebabkan generasi masa kini kurang rasa kecintaan terhadap institusi beraja yang disifatkan sebagai sendi Melayu.
“Secara ringkasnya, penceritaan sejarah terbahagi kepada beberapa kelas antaranya sejarah rasmi dan rakyat. Sejarah rasmi sering kali diceritakan oleh mereka yang berkuasa. Meskipun ada kebenaran di sebalik penceritaan itu namun ceritanya telah diolah demi kepentingan watak-watak tersebut. Ianya banyak terdapat dalam silibus selama ini.
“Sejarah rakyat pula boleh didefinisikan sebagai penceritaan yang jarang didengar kerana tiada dalam silibus malah sering dianggap telah disalah tafsir oleh pihak tertentu atas kepentingan menjaga nilai konsep sejarah rasmi,” ceritanya.
Mohd. Ashraf menambah, susulan daripada situasi itu, generasi muda kini jauh terpisah dengan sejarah terdahulu berikutan ia tidak diceritakan dengan baik hingga menyebabkan rasa sayang terdapat institusi tersebut semakin pudar.
“Selain unsur sejarah tidak diceritakan dengan baik, jarak antara institusi beraja dengan rakyat yang disifatkan terlalu jauh turut mengundang kepada keretakan institusi beraja pada era masa kini.
“Kita harus sedar, institusi beraja adalah eksklusif sebagai benteng Islam dan Melayu manakala dari satu sudut lain pula, institusi tersebut menjadi tunjang kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum serta agama,” ujarnya.
Kepentingan
Justeru, usaha tangan-tangan tidak bertanggungjawab meletakkan institusi beraja di bawah pengaruh mana-mana parti politik perlu dihentikan segera.
“Institusi beraja tidak perlu lagi memasukkan diri mereka ke dalam kancah politik kepartian. Kerajaan Pakatan Harapan juga diharap agar tidak sesekali mengambil kesempatan dengan menggunakan institusi beraja untuk kepentingan sendiri.
“Perkara seperti melibatkan institusi beraja ke dalam kancah politik perlu dihentikan. Mereka seharusnya memainkan peranan terbaik dengan mempunyai kelompok penasihat dan pemikir dalam kalangan golongan Raja-Raja Melayu bagi berdiri ampuh tanpa dikawal pihak lain,” jelasnya.
Kebangkitan golongan intelektual dalam institusi berkenaan bakal memayungi rakyat semula dan keadaan ini pastinya membawa kembali sinar kejayaan buat seluruh kaum Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
“Slogan raja dan rakyat berpisah tiada akan terus ditiup rohnya agar menjadi slogan keramat serta kembali relevan untuk dipraktiskan masa kini. Rakyat perlu kembali bertaut kepada institusi beraja bagi menyemarakkan kedaulatan sesebuah negara.
“Dalam pada itu, keterlibatan raja-raja Melayu dengan menyertai program-program bersama rakyat juga dilihat berupaya untuk menyemai kembali kasih-sayang yang wujud antara golongan istana dan rakyat biasa.
“Pada masa sama, raja juga perlu tampil sebagai intelek dari segi ketrampilan termasuk berupaya menangani segala hal berkaitan rakyat demi kesejahteraan dan dirgahayu Malaysia tercinta,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berpendapat, sejarah terdahulu telah membuktikan bahawa raja-raja Melayu lebih bersifat pasif serta tidak memainkan peranan untuk terus maju ke hadapan.
“Mereka ini (raja-raja Melayu) lebih gemar menunggu untuk dilayani sentiasa dan sifat-sifat tersebut telah dibingkaikan oleh generasi muda bagi menggambarkan apa itu institusi beraja di negara ini.
“Walaupun begitu, generasi terdahulu seperti saya sentiasa merasakan institusi beraja sebenarnya telah berjaya mewujudkan unsur berkasih sayang seterusnya menciptakan budaya istana seperti beta untuk raja dan patik bagi rakyat jelata,” katanya.
Appear first on Harian Melayu
Demikianlah Artikel [INGATAN UNTUK PH] Institusi beraja penyambung peradaban Melayu, Raja pula TAK PAYAH main Politik
Sekianlah artikel [INGATAN UNTUK PH] Institusi beraja penyambung peradaban Melayu, Raja pula TAK PAYAH main Politik kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel [INGATAN UNTUK PH] Institusi beraja penyambung peradaban Melayu, Raja pula TAK PAYAH main Politik dengan alamat link https://harianmelayu.blogspot.com/2018/06/ingatan-untuk-ph-institusi-beraja.html