Menterinya, Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan dan pihaknya akan mengkaji semula segala bentuk bantuan yang bakal diberikan kelak.
Malah tegasnya, bantuan hanya akan diberikan kepada golongan sasar berkelayakan serta usahawan yang berusaha untuk me­ning­katkan pendapatan.
“Kita tidak mahu memberi bantuan yang akhirnya habis begitu sahaja, mesti ada pulangan yang boleh membantu usahawan lain semula. Bantuan juga akan diberikan tanpa mengira warna, fahaman politik mahupun bangsa.
“Oleh itu, saya berharap agar rakyat dapat mengubah pemikiran dan tidak lagi mengharapkan bantuan percuma daripada kerajaan semata-mata. Duit (geran) percuma sudah tiada lagi kerana kita hanya akan memberikan bantuan kepada golongan sasar iaitu usahawan berkelayakan sahaja yang benar-benar ingin meningkatkan pendapatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan tambahan Kilang My-Sutera Sdn. Bhd. dan Pelancaran Mega Canggih Shoppe di Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dan Pengerusi Kumpulan My-Sutera Sdn. Bhd., Annas Ahmad.
Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, pihak kementerian akan mewujudkan Unit Pengaduan Usahawan dengan serta merta dengan mengguna pakai agensi yang bernaung di bawah kementeriannya.
“Di Sarawak kita sudah tubuhkan dan negeri ini (Kelantan) merupakan tempat kedua penubuhan tersebut. Unit itu berperanan untuk menerima segala bentuk aduan, masalah serta penipuan yang dihadapi usahawan,” jelasnya.
Menurutnya, penubuhan unit itu bertujuan menjalin hubungan lebih rapat dengan usahawan bumiputera supaya masalah yang dihadapi oleh mereka dapat diatasi dengan lebih efektif.