Hujah beliau, 85 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen mengandungi 35 peratus pengundi Cina dan India yang mana 69 daripadanya mempunyai 40 peratus pengundi daripada kaum tersebut.
Tetapi soalnya, apakah dengan membentangkan fakta ini ia memberi jaminan bahawa MCA mahupun MIC akan mampu meraih sokongan daripada pengundi-pengundi tersebut?
Cukup-cukuplah mahu menuding jari kepada UMNO berikutan apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Janganlah demi menutup kelemahan sendiri kerjasama UMNO dan Pas pula mahu dipolitikkan.
Kalaupun kedua-dua parti itu tidak bekerjasama belum tentu pengundi-pengundi Cina dan India akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN).
Apa yang berlaku dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 sudah menjadi bukti pengundi-pengundi Cina dan India sudah lama mengucapkan Selamat Tinggal kepada MCA dan MIC.
Tumbangnya BN dalam PRU-14 (PRU-14) bukan disebabkan oleh UMNO semata-mata. Kalau MCA dan MIC hebat sangat sudah pasti jumlah kerusi mereka di Parlimen melebihi kerusi UMNO.
Tetapi terbukti pengundi Cina dan India sudah menolak MCA dan MIC hampir secara total. Dengan masing-masing menang satu dan dua kerusi sepatutnya kepemimpinan kedua-dua parti tersebut tidak perlulah mahu tunjuk lagak dengan terus ‘mengkritik’ UMNO.
Oleh itu UMNO tidak perlu melayan gelagat politik MCA dan MIC. Teruskan usaha memperkukuhkan hubungan dengan Pas.
Tiada gunanya mengejar perkara yang tidak pasti sehingga sanggup mengenepikan usaha menyatukan orang Melayu dan umat Islam.
Biarlah MCA dan MIC terus ‘trauma’ dengan kekalahan dalam PRU-14. - UTUSAN ONLINE