Saarani berkata, perkara itu dinyatakan dalam dua daripada lima pe­ngakuan bersum­pah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipanggil memberi kenya­taan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Ma­laysia (SPRM), semalam.

Menurut beli­au, kelima-lima pengakuan itu mempunyai persamaan dari segi tujuan dengan menyebut dakwaan Abdul Aziz bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menunjukkan prestasi baik malahan Naib Pengerusi DAP Perak itu mendakwa memiliki soko­ngan 18 wakil rakyat DAP dan masing-masing empat Amanah serta PKR.

Dakwa beliau, Exco terbabit memerlukan empat lagi ADUN bagi memperoleh ke­seluruhan 30 sokongan untuk menjadi Menteri Besar.

Katanya, kelima-lima ADUN itu bertanyakan kepada Abdul Aziz modus operandi untuk menjadi Menteri Besar dan menurunkan Menteri Besar sedia ada.

“Dia jawab, dapat sahaja empat tandatangan empat orang UMNO ini, dia akan bawa lagi tandatangan soko­ngan (18 DAP, masing-masing empat Amanah dan PKR) untuk berjumpa Tuanku (Sultan Perak) dengan sokongan orang besar dan berpengaruh dari Putrajaya.

“Jadi, dalam ke­percayaan dia, Tuanku akan menurunkan Ahmad Faizal dan me­lantiknya sebagai Menteri Besar,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini, selepas turut sama diminta mengesahkan kelima-lima akuan bersumpah tersebut selama lima jam di Bangunan SPRM Perak, semalam.

Dalam pada itu, Saarani berkata, beliau yakin 100 peratus bahawa kesemua 25 wa­kil rakyat UMNO tidak mengikut rentak dimainkan oleh Abdul Aziz kerana mereka adalah rasional dan perbuatan menyokong tindakan itu jelas salah serta tidak demokratik.

Menurutnya, penyokong kerajaan banyak menyalahkan pihaknya seolah-olah me­nimbulkan kecelaruan, namun jika Ahmad Faizal sendiri menganggap dakwaan tersebut sebagai cerita bohong, maka terpulang kepadanya kerana beliau tidak mahu Barisan Nasional (BN) dipersalahkan. --Utusan  #CelahGelegar