Judul : TAFSIR hifz al-din Menteri Agama TERPESONG, mahu jaga semua agama
link : TAFSIR hifz al-din Menteri Agama TERPESONG, mahu jaga semua agama
TAFSIR hifz al-din Menteri Agama TERPESONG, mahu jaga semua agama
1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) melahirkan rasa kekecewaan atas kenyataan YB Dato Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) terhadap kenyataan yang dikeluarkan dalam satu majlis JAKIM berkenaan salah satu cabang Maqasid Syariah iaitu konsep Hifz al-Din (memelihara agama). Beliau menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan Hifz al-Din dengan maksud memelihara seluruh agama dan bukan memelihara Islam sahaja.
2. Beliau perlu sedar bahawa di dalam disiplin Ulum Syarak, memahami sesuatu istilah Fiqh , usul dan seumpamanya bukanlah hanya dengan bersandarkan kepada akal atau maksud dari segi bahasanya semata-mata, setiap istilah tersebut hendaklah difahami dalam konteks menyeluruh (syumul) iaitulah berdasarkan kepada nas Al-Quran, Hadis serta dipandukan pandangan Salafussoleh.
Memahami istilah-istilah Syarak secara literal semata-mata boleh membawa kepada mentakwil agama yang suci bersandarkan hawa nafsu yang boleh membawa kepada kesesatan. Merungkai konsep Hifz al-Din sebegini bukan sahaja akan memberi makna yang salah kepada istilah ini semata-mata, tetapi ianya akan memberi kesan terhadap istilah lain yang berkaitan seperti dakwah, jihad bahkan konsep negara Islam itu sendiri.
3. Bahkan kalaulah beliau melihat tafsirannya dari segi bahasa pun (di mana beliau merupakan lepasan dalam bidang Bahasa Arab), beliau akan dapati bahawa tafsirannya itu menyimpang kerana perkataan “الدين” itu bersifat mufrad (satu) dan makrifah(kata nama khas) bermaksud agama yang dimaksudkan iaitulah Islam. Dalam Al-Quran juga Allah SWT apabila menyebut perkatan al-Din ianya membawa maksud Islam seperti dalam firmanNya: ان الدين عند الله الاسلام. Ulama tidak menggunakan perkataan الاديان (agama-agama) atau perkataan berbentuk kata nama am (دين) dalam mengistilah salah satu cabang daripada Maqasid Syariah ini.
Jadi disiplin ilmu atau ulama manakah yang beliau sandarkan dalam membuat tafsiran sebegini?
4. Beliau mungkin perlu diperingatkan bahawa pentafsiran hifz al-din ini dengan maksud memelihara kesucian agama Islam ini daripada segala ancaman adalah merupakan pentafsiran yang diterimapakai oleh para ulama. Bahkan para ulama telah membicarakan konsep ini dengan melihat kepada dua aspek utama:
i- Janib al-wujud (aspek mengekalkan kewujudan agama dan penegakkannya). Hifz al-din dalam konteks ini adalah bermaksud melakukan perkara-perkara yang membawa kepada penegakan agama Islam. Antaranya, Imam al-Syatibi menyatakan:
“فأصول العبادات راجعة إلى حفظ الدين من جانب الوجود كالإيمان، والنطق بالشهادتين، والصلاة والزكاة، والصيام، والحج، وما أشبه ذلك”.
“Maka aspek penting Ibadah adalah bermatlamatkan kepada hif al-din darripada perspektif memastikan kewujudan agama dan penegakkannya) seperti beriman kepada Allah dan syahadatayn, solat, zakat, puasa, haji, dan seumpamanya”.
Begitu juga, dalam konteks pemerintahan, Al-Juwayni telah menyimpulkan Hifz al-Din dalam dua perkara iaitu memelihara umat Islam dari segala bentuk ancaman sama ada bersifat ideologi atau fizikal dan yang kedua ialah menyebarkan (dakwah dan jihad) Islam serta menentang mereka yang menolak kedaulatan Islam itu sendiri.
Begitu juga Nuruddin al-Khadimi menegaskan dalam konteks ini:
تثبيت أركان الدين وأحكامه في الوجود الإنساني والحياة الكونية، وكذلك العمل على إبعاد ما يخالف دين الله ويعارضه، كالبدع ونشر الكفر، والرذيلة، والإلحاد، والتهاون في أداء واجبات التكليف
“HIfz al-din adalah membawa maksud mengukuhkan rukun-rukun agama daam kehidupan kemanusiaan dan kehidupan keduniaan. Ia juga meliputi gerakkerja untuk menjauhkan kehidupan kemanusiaan dan keduniaan ini daripada perkara-perkara yang menyalahi agama Allah dan menyanggahinya, seperti bid’ah dan kekufuran, perkara-perkara keji, atheis dan memberi keringanan dalam melakukan kewajipan dan tuntutan-tuntutan agama”
Jelas daripada perbincangan ini, yang dimaksudkan hifz al-din ini, termasuk jugalah di dalamnya menjaga kehidupan kemanusiaan daripada kekufuran.
Bagaimana YB Menteri boleh memberikan kefahaman bahawa termasuk di dalam hifz al-din ini ialah menjaga agama-agama selain Islam juga.
Tidak ini bermakna menjaga kekufuran?
Menjaganya daripada apa? Daripada dakwah Islam ke arah mentauhidkan Allah? Jika sekiranya beliau memahami konteks ini, sudah tentulah beliau tidak akan membuat penafsiran yang sedemikian.
Begitu juga, di dalam konteks hifz al-din inilah, maka para ulama menggariskan bahawa antara tugas pemerintah adalah bertanggungjawab untuk menegakkan syiar agama Islam dan membawa tugas penyebaran agama Islam di dalam masyarakat.
Jika sekiranya hifz al-din ini diumumkan kepada semua agama, ini adalah bermakna menjadi tanggungjawab pemerintah untuk melakukan penyebaran agama-agama lain sepertimana agama Islam juga. Jika ini berlaku, maka matlamat hifz al-din kepada Islam itu dengan sendirinya akan terhapus. Ini menunjukkan bahawa hifz al-din yang dimaksudkan adalah bermaksud hifz al-din al-Islami semata-mata.
ii-Janib al’Adam (aspek memelihara agama daripada perkara-perkara yang membawa kepada kerosakan dan kemusnahannya).
Dalam konteks inilah maka (antaranya) diwajibkan hukuman murtad kepada mereka yang keluar daripada Islam. Jika sekiranya hifz al-din ini membawa menjaga agama lain juga, bagaimana hukuman murtad akan dilaksanakan. Tidakkah itu mengganggu konsep hifz al-din kepada agama lain?
5. Jika beliau menyedari betapa peri pentingnya kefahaman konsep Hifz al-Din ini, beliau tidak akan tergamak menafsirkan sedemikian kerana hari ini umat Islam dunia amnya dan di Malaysia khususnya terus dan sedang diancam daripada segenap sudut sama ada ideologi atau fizikal.
Kita berterusan diasak oleh kelompok Islam liberal, gerakan songsang LGBT, Syiah, Evengelist Kristian, gerakan hak asasi manusia dan banyak lagi gerakan lain yang mempunyai matlamat yang sama iaitu merungkai kesucian agama ini. Maka saat ini sangat menjadi keperluan untuk beliau sebagai Menteri Agama mengetengahkan konsep Hifz al-Din tetapi dengan tafsiran yang betul.
6- Dalam konteks ini, perlu jugalah ditegaskan juga bahawa Islam adalah agama rahmah dan tidak pernah menafikan hak untuk beragama bagi orang bukan Islam. Bahkan konsep maqasid ini jugalah yang meletakkan baahawa Islam mengiktiraf hak-hak kemanusiaan sejagat lainnya seperti Hifz al-Aql (memelihara akal pemikiran), Hifz al-Nafs (memelihara jiwa), Hifz al-Nasl (memelihara keturunan dan maruah) dan banyak lagi hak-hak yang lain.
Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah Islam untuk memastikan bahawa hak-hak ini terjaga ke atas seluruh rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama. Namun interaksi ini adalah dalam ruang lingkup mereka sebagai rakyat dalam negara Islam dan bukannya dalam konteks hifz al—din, sepertimana yang dinyatakan oleh YB Menteri.
Sesungguhnya Islam mempunyai ruang yang cukup besar untuk berinteraksi dan berlapang dada (tasamuh) dengan bukan Islam dalam konteks keadilan dan kebebasan beragama, selagi mana kebebasan tersebut tidak menganggugugat kedudukan Islam sebagai agama negara, namun perlulah dibezakan interaksi ini dengan Hifz al-Din yang khusus untuk agama Islam.
Inilah intipati yang ditunjukkan oleh Baginda saw sendiri dalam piagam Madinah, yang menjadi antara rujukan penting di dalam berinteraksi dengan orang bukan Islam dalam negara Islam.
7- Oleh sebab itu, MUIS menuntut supaya YB Dato’ Dr Mujahid Rawa agar tidak memberikan tafsirannya berkenaan Hifz al-Din tanpa kefahaman yang jelas, dan menyeru beliau agar sentiasa membuat rujuklan kepada para Mufti yang ada sebelum mengeluarkan sebarang tafsiran berkenaan Islam kerana implikasi setiap tafsiran itu bukanlah hanya pada dirinya atau orang yang mendengar, tetapi ianya akan mencorakkan Negara Malaysia yang akan kita wariskan kepada generasi yang akan datang.
Biarlah generasi akan datang memperingati kita sebagai pejuang yang gugur dalam usaha mendaulatkan Islam daripada diingati sebagai pemimpin yang akhirnya merungkai kesucian agama ini.
Moga Allah memelihara umat ini daripada sebarang fitnah dan kembali mengangkat keizzahan umat ini
وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ لَا يَعۡلَمُونَ
Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (Surah al-Munafiqun: 8)
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Appear first on Harian Melayu
Demikianlah Artikel TAFSIR hifz al-din Menteri Agama TERPESONG, mahu jaga semua agama
Sekianlah artikel TAFSIR hifz al-din Menteri Agama TERPESONG, mahu jaga semua agama kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel TAFSIR hifz al-din Menteri Agama TERPESONG, mahu jaga semua agama dengan alamat link https://harianmelayu.blogspot.com/2018/07/tafsir-hifz-al-din-menteri-agama.html