Judul : Kes rasuah KBS: 22 beg tangan mewah jadi bukti
link : Kes rasuah KBS: 22 beg tangan mewah jadi bukti
Kes rasuah KBS: 22 beg tangan mewah jadi bukti
Beg jenama mewah Christian Louboutin, Salvatore Ferragamo, Fendi Roma, Gucci, Chanel, Louis Vuitton, Prada Milano dan Christian Dior, dikemukakan di Mahkamah Sesyen hari ini sebagai barang bukti pada perbicaraan kes bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.
Kesemua 22 buah beg tangan itu dikemukakan oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmawi A/L Kulup Lam ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin dan Aaron Chelliah pada perbicaraan kes Otman Arshad, 59 tahun, bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, KBS.
Asmawi, 37, membuka beg itu satu persatu semasa ditanya oleh Husmarudin mengenai beg tersebut pada perbicaraan kes di hadapan Hakim Azura Alwi.
Saksi pendakwaan ke-49 itu turut mengemukakan sijil pengesahan keaslian bagi kesemua beg tangan itu dan panduan penjagaannya.
Beliau berkata kesemua beg tangan yang dirampas telah dibungkus dengan kemas dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang ditandakan oleh SPRM.
Sementara itu, Husmarudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan beberapa kotak lagi yang mengandungi beg tangan dan jam tangan mewah semasa perbicaraan akan datang yang ditetapkan pada 16 hingga 19 April ini.
"Pihak kami juga akan mengemukakan beberapa buah kereta mewah milik tertuduh pertama (Otman) serta tertuduh kedua dan ketiga (Abdul Gafar Abdurahiman dan Siti Rohanah Hussien)," katanya.
Pada 21 April 2016, Otman yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.
Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS, Abdul Gafar, 44; dan isterinya Siti Rohanah, 44; suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.
Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. -Bernama
Appear first on Harian Melayu
Demikianlah Artikel Kes rasuah KBS: 22 beg tangan mewah jadi bukti
Sekianlah artikel Kes rasuah KBS: 22 beg tangan mewah jadi bukti kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Kes rasuah KBS: 22 beg tangan mewah jadi bukti dengan alamat link https://harianmelayu.blogspot.com/2018/03/kes-rasuah-kbs-22-beg-tangan-mewah-jadi.html